Feeds:
Posts
Comments

Archive for January 1st, 2009

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Bernama) — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi Tabung Ekonomi Usahawan (Tekun) telah meluluskan pinjaman berjumlah RM1.5 juta dalam tempoh sepuluh hari lepas, kepada lebih 500 peniaga dan penjaja kecil di Terengganu.

Menterinya Datuk Noh Omar berkata pinjaman tanpa penjamin dan cagaran menerusi van bergerak (Tekun mobile) itu, yang diperkenalkan buat pertama kali di sini, berjumlah tidak melebihi RM3,000 kepada setiap peniaga serta penjaja dan diluluskan dalam tempoh dua hari.

Beliau berkata Tekun diwujudkan bertujuan untuk mengelakkan peniaga dan penjaja kecil meminjam wang daripada ceti haram atau “Ah Long” jika mereka hendak memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Tekun juga membuat pendekatan baru dengan mewujudkan van bergerak supaya boleh pergi ke pasar-pasar malam, tempat tumpuan ramai untuk menawarkan khidmat pembiayaan kepada mereka yang berminat untuk meminjam dan menjadi usahawan secara mudah.

“Kita akan perluaskan van bergerak ini di beberapa tempat lagi termasuk di Shah Alam dan Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gerak Usahawan Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) Kuala Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu di sini, Khamis.

Beliau berkata setakat ini, Tekun telah mengeluarkan pinjaman sebanyak RM1.2 bilion kepada lebih 160,000 peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara.

Pada majlis berkenaan, Noh turut melancarkan Skim Tabung Bencana Alam di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan dana berjumlah RM2 juta.

Skim tersebut adalah untuk membantu koperasi yang menjalankan perniagaan perladangan dan penternakan.

“Bila datang bencana alam atau penyakit kepada ternakan, ternakan terpaksa dihapuskan dan kalau ribut atau banjir, hasil tanaman musnah. Oleh itu, menerusi skim ini, koperasi yang terlibat boleh meminta bantuan dalam bentuk geran bagi menampung kerugian yang dialami,” kata Noh.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan bahawa program yang dilaksanakan kerajaan di sini, tiada kaitan dengan pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu, Sabtu ini.

“Saya menolak dakwaan pembangkang yang selalu menuduh kerajaan membuat program ‘mi segera’ pada pilihan raya. Apa yang kita buat telah dirancang sebelum ini dan kebetulan pula berlaku semasa pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu,” katanya.

— BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »