KUALA TERENGGANU, 29 Dis (Bernama) — Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mengadakan kursus selepas perkahwinan kepada pasangan yang sudah berkahwin bagi mengurangkan kadar perceraian di negeri ini.
Pesuruhjaya JHEAT Datuk Sheikh Harun Sheikh Ismail berkata kursus seumpama itu belum pernah diadakan di Malaysia tetapi pernah diadakan di negara-negara maju seperti Singapura dan negara-negara Islam lain.
“Sebelum ini, kita lebih menumpukan kursus sebelum perkahwinan kepada pasangan yang akan mendirikan rumah tangga, sedangkan kadar perceraian semakin meningkat dari tahun ke tahun.
“Jadi ia memerlukan satu kaedah untuk mengatasi masalah tersebut dan dengan adanya kursus seperti ini, kita berharap, ia akan dapat membantu mengurangkan masalah tersebut,” katanya di sini, Isnin.
Beliau berkata antara penekanan yang akan diberikan dalam kursus itu memberi pemahaman tentang pentingnya pasangan suami isteri itu memahami konsep hidup berkeluarga.
“Ia supaya mereka matang dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi apabila mereka telah menjadi bapa atau ibu,” katanya.
Sheikh Harun berkata kadar perceraian di Terengganu sekarang berada dalam lingkungan 14 peratus dan adalah menjadi hasrat dan matlamat JHEAT untuk mengurangkan kadar perceraian itu kepada 10 peratus sehingga sifar peratus.
Beliau berkata jumlah pasangan yang berkahwin di Terengganu tahun ini meningkat sehingga 10,000 pasangan berbanding hampir 9,000 pasangan pada tahun lepas.
Katanya sebanyak 619 pasangan telah bercerai manakala 123 pasangan telah rujuk semula.
Sheikh Harun berkata seramai 30,000 wanita dan 20,000 lelaki telah mengikuti kursus pra-perkahwinan sejak kursus itu diperkenalkan di Terengganu bermula 2006 hingga 2008.
— BERNAMA