KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama)
Hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi menyebabkan keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk Isnin petang dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat.
Jabatan Meteorologi memberi amaran hujan lebat akan berterusan di Terengganu iaitu di Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun manakala di Kelantan membabitkan daerah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang, sehingga Isnin malam.
Pada masa jumlah mangsa di Terengganu meningkat kepada 1,956 orang keadaan di Kelantan pula beransur pulih tetapi meragut satu lagi nyawa manakala seorang masih hilang.
Di KUALA TERENGGANU, tiga daerah yang terlibat adalah Kuala Terengganu dengan sejumlah 1,201 mangsa dipindahkan sehingga pukul 6 petang manakala di Marang 686 orang dan Besut 69 orang.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri berkata lima pusat pemindahan di Kuala Terengganu dibuka iaitu Balai Raya Sungai Pinang, Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Sekolah Kebangsan Tok Jiring dan Sekolah Kebangsaan Bukit Nenasi.
Paras air di Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri masih di tahap bahaya manakala paras air di Ibu Bekalan berada di tahap amaran.
Jalan-jalan yang ditutup Jalan Pengkalan Berangan-Pulau Kerenggal; Jalan Marang-Wakaf Tapai; Kuala Terengganu-Kuantan sementara di Setiu membabitkan Jalan Telaga Papan-Chalok; Bukit Perah-Kampung Jok-Kuala Kajil dan Marang-Kuala Telemong kerana dinaiki air sedalam antara 0.25 meter dan 1.5 meter.
Sementara itu, Pasar Payang yang menjadi tumpuan pelancong untuk membeli kain sutera, batik, songket dan barangan kraf turut dinaiki air sedalam 0.3 meter sehingga 0.6 meter.
Keadaan itu menyebabkan pelbagai barangan termasuk barangan runcit seperti gula, beras, tepung, pulut hitam, kacang hijau, buah-buahan, bantal, batik dan songket mengalami kerosakan akibat terkena air sehingga memaksa peniaga membuat jualan murah untuk mengelakkan risiko kerugian lebih teruk.
— BERNAMA
Read Full Post »