KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Tabung Haji (TH) Terengganu menaja sisipan Minda yang disiarkan akhbar Berita Harian sebanyak 50 naskhah seminggu kepada 11 sekolah menengah di negeri ini dalam usaha membantu pelajar untuk membuat rujukan sebelum menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009.
Sekolah yang menerima Berita Harian tajaan TH negeri ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Setiu; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, Besut; SMA Mahmudiah, Kuala Berang; SMK Ayer Putih, Kemaman; SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun; SMK Kampung Baru Kerteh dan SMK Sura di Dungun.
Pengarah TH Terengganu, Mohammad @ Mokhzani Mukhtar, berkata lima lagi sekolah yang turut menerima tajaan ialah SMK Tengku Lela Segara, Marang; SMK Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang; SMK Tengku Mizan Zainal Abidin, Batu Rakit dan SMK Chendering.
Katanya, sekolah yang terpilih menerima tajaan akhbar Berita Harian bagi memudahkan pelajar membuat rujukan sebagai persediaan menduduki peperiksaan PMR melalui sisipan Minda akan menerima sebanyak 50 naskah seminggu selama 25 minggu.
“Kita bersetuju memilih sisipan minda yang disiarkan Berita Harian untuk diedarkan secara percuma kepada sekolah terpilih kerana kita dapati bahan disiarkan mampu menguji minda pelajar sebagai persediaan, sebelum menduduki peperiksaan PMR.
“Kita dapati bahan disiarkan dalam sisipan Minda itu juga digunakan sebahagian guru-guru untuk dijadikan bahan rujukan ketika menjalankan tugas,” katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Program Bulan Dakwah 2009, di SMK Tengku Mizan Zainal Abidin, Maras, Batu Rakit, di sini, semalam.
Pada majlis itu, Mohammad menyerahkan akhbar Berita Harian kepada Pengetua SMK Tengku Mizan Zainal Abidin, Hamidah Hussin yang mewakili pengetua 10 sekolah yang dipilih menerima tajaan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.
Mohammad berkata, soalan beberapa mata pelajaran disiarkan dalam sisipan minda mampu melatih dan memahirkan pelajar menjawab soalan ketika peperiksaan sebenar PMR.
Leave a comment